Thursday, 30 May 2013

Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-52

Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-52 telah selamat dijalankan di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah. Seramai 25 orang pengetua dari Negeri Sembilan  telah menyertai persidangan yang berlangsung pada 22 hingga 25 April 2013 yang lalu.


Tema persidangan kali ini adalah "Kepimpinan Berprestasi Tinggi Menjana Pendidikan Berkualiti" yang mengajak semua pengetua mengamalkan kepimpinan berprestasi tinggi secara berterusan bagi menghasilkan modal insan yang dinamik, progresif serta memiliki jati diri yang tinggi selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara.

Hari pertama persidangan pada Isnin 22 April 2013 dimulakan dengan taklimat urusetia pengelola persidangan dan ucapan Haji Muhamad Khailani Abdul Jalil, YDP MPSM Kebangsaan pada 8.00 malam. Untuk makluman, waktu Maghrib di Kota Kinabalu adalah pada jam 6.24 petang.

Pada hari kedua persidangan (23 April 2013) diadakan Ceramah Profesional bertajuk Kepimpinan Berprestasi Tinggi Meningkatkan Keberhasilan Murid yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Dr. Amin bin Senin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan.


Majlis perasmian persidangan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia mewakili Menteri Pelajaran Malaysia. Di sebelah petang pula diadakan satu forum bertajuk Kepimpinan Berprestasi Tinggi Menjana Pendidikan Berkualiti dbarisi oleh tiga ahli panel iaitu Dato' Haji Mohd Ghazali bin Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Dr. Nai'mah binti Ishak, Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Profesor Dr. Mornie bin Kambrie, Ketua Eksekutif SIDMA, UNITAR Sabah manakala Encik Abdullah bin Md. Yunus, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertindak sebagai moderator.

Pada hari ketiga persidangan (Rabu 24 April 2013) pula diadakan dua slot ceramah iaitu ceramah korporat dan ceramah profesional. Ceramah Korporat diberikan oleh Datuk Wira Dr. Haji Ameer bin Mydin dari Mydin Holding Berhad. Ceramah Profesional yang bertajuk Sarana Ibu Bapa disampaikan oleh Dr. Jamil Adimin, Tmbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Sektor Dasar dan Puan Asiah Hamzah, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian selepas minum pagi. Pada sebelah petang diadakan lawatan penandaarasan ke lima belas sekolah menengah di sekitar Kota Kinabalu oleh lima belas kumpulan. Pada sebelah malam pula diadakan majlis makan malam yang dinamakan Songom Derampun.

Pada hari terakhir persidangan (Khamis 25 April 2013), mesyuarat agung MPSM Kebangsaan ke-52 diadakan di sebelah pagi manakala majlis perasmian penutupan diadakan selepas minum pagi. Majlis Perasmian Penutupan persidangan disempurnakan oleh Tuan Haji Sufa'at bin Tumin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...