Wednesday 19 December 2012

Tahniah Puan Hajah Kalsom binti Khalid

MPSM Negeri Sembilan dan seluruh warga pendidik Negeri Sembilan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan yang telah dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan yang baru.
Sesungguhnya MPSM Negeri Sembilan dan seluruh warga pendidik Negeri Sembilan merasa amat bangga di atas pelantikan ini memandangkan Puan Hajah Kalsom telah menabur bakti dan memberi sumbangan yang bermakna dan berterusan sejak menjadi guru di Negeri Sembilan. Semoga anak-anak Negeri Sembilan bertambah maju dalam bidang pendidikan impak daripada pelantikan. Tahniah.

Monday 17 December 2012

Tahniah Atas Pelantikan dan Selamat Berpindah

MPSM Negeri Sembilan mengucapkan tahniah kepada Datin Maimon binti Maarof, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bukit Kepayang, Seremban yang telah dilantik sebagai Pengetua SMK Tunku Besar Burhanuddin (SMKTBB) Seri Menanti  mulai 1 Disember 2012 yang lalu. Selamat bertugas di tempat baru dan selamat menyertai MPSM Negeri Sembilan.
MPSM Negeri Sembilan juga mengucapkan selamat bertugas di sekolah baru kepada empat orang rakan pengetua yang telah berpindah ke sekolah baru mulai 1 Disember 2012. Majlis penerimaan watikah pelantikan telah diadakan di Balai Gadang, JPNS pada 12 Disember 2012 yang lalu. Semoga sekolah yang ditinggalkan dan sekolah baru yang dipimpin bertambah cemerlang.
Senarai pertukaran adalah seperti berikut:
  1. Tuan Haji Mohd Sazali Sam dari SMK Tunku Besar Burhanuddin, Seri Menanti ditukarkan ke Sekolah Sains Sukan SMK Za'ba Kuala Pilah.
  2. Encik Zakaria Sapri dari Sekolah Sains Sukan SMK Za'ba Kuala Pilah ditukarkan ke SMK Seri Jempol.
  3. Puan Hajah Norlida Jantan dari SMK Seri Jempol ditukarkan ke SMK Datuk Mansor, Bahau.
  4. Puan Hajah Kamilah Saleh dari SMK Datuk Mansor ditukarkan ke SMK Dato' Mohd Said, Nilai.

Thursday 13 December 2012

Mesyuarat MPSMNS Kali Kedua 2012/2013

Mesyuarat kedua MPSM Negeri Sembilan telah diadakan pada Rabu 12 Disember 2012 kali ini bertempat di SMK Pendeta Za'ba, di Taman Panchor Jaya, Seremban. Mesyuarat kali ini turut disertai oleh Tuan Azmi bin Basir, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, JPNS, selaku Penasihat MPSM Negeri Sembilan. Semua AJK MPSM NS mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kesudian tuan hadir ke mesyuarat kali ini. 


Mesyuarat dimulakan dengan ucapan daripada Tuan Haji Kamaruddin bin Haji Ibrahim, Yang DiPertua MPSMNS diikuti oleh taklimat Ketua Sektor Pengurusan Sekolah. Dalam taklimatnya, Tuan Azmi bin Basir  menekankan tentang lima perkara yang perlu dilengkapkan pada hari pertama persekolahan iaitu 1Murid 1Kerusi 1Meja 1Set buku teks dan P & P bermula waktu ke-2. Selain daripada itu, beliau memaklumkan semua mesyuarat berkaitan guru, takwim, kurikulum, HEM, kokurikulum dan panitia mata pelajarn telah dilakukan sebelum hari pertama persekolahan. Program pemantauan akhir tahun akan bermula dari 17 Disember hingga 27 Disember 2012 untuk meninjau dan membantu sekolah misalnya dari aspek kekurangan guru dan kekurangan kerusi dan meja murid.

Pada akhir sesi mesyuarat, satu majlis penyerahan cenderamata oleh MPSMNS kepada Puan Hajah Norlia Abdul Karim, Pengetua SMK Pendeta Za'ba diadakan kerana sumbangan beliau sebagai Penolong Setiausaha MPSMNS dan sempena persaraan beliau mulai 2 Januari 2013.

Pada mesyuarat kedua ini, majlis turut melantik Puan Yatimah binti Jiram, Pengetua SMK Tunku Ampuan Najihah sebagai Penolong Setiausaha MPSMNS yang baru menggantikan Puan Hajah Norlia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...